Monday, 10 December 2012

Salam sejahtera semua..

Bertemu kembali buat rakan-rakan maya semua. Sudah agal lama saya tidak berbicara dan menjenguk ke jendela maya yang terbentang dan terbuka luas ini. Hal ini kerana saya terpaksa merehatkan diri buat seketika kerana faktor kesihatan setelah melahirkan anak saya yang kesembilan. Apa pun, syukur kepada ALLAH kerana sehingga kini kesihatan saya bertambah baik, kecuali bagi anak saya yang perlukan rawatan susulan ekoran penyakit kuningnya yang agak lambat sembuh. Sehingga kini ( setelah 20 hari kelahirnyanya ) saya masih perlu membawanya ke hospital dan klinik untuk rawatan susulan. Semoga anak saya cepat sembuh. Insya ALLAH
    Sementelahan saya dalam zon dan waktu berpantang ini, ingin saya kongsikan dengan tetamu maya sekalian akan menu bagi orang yang berpantang selepas bersalin. Pastinya bagi wanita-wanita selepas bersalin amat arif akan menu dan selera semasa berpantang selepas bersalin ini. Kesempatan saya berada di wad bersalin sejak sekian lamanya melahirkan anak ( sudah sembilan kali ), pelbagai pesakit telah saya temui. Pelbagai kaum dan latar budaya sudah saya temui. Pastinya tidak terkecuali dalam bual bicara itu termasuk dalam hal yang berkaitan dengan menu ketika dalam pantang. Agak sukar untuk saya jelaskan di sini, tetapi apa yang boleh dikatakan bahawa pelbagai latar dan budaya serta kaum yang saya temui, menemukan saya juga pelbagai menu yang diamalkan semasa wanita berpantang. Malah ada yang agak pelik dan sukar  juga untuk dilaksanakan.

Namun antara yang agak popular adalah menu ikan haruan. Saya dapati ikan haruan ini hampir ada dalam senarai menu wanita bersalin bagi semua kaum di negara kita.  Mungkin kita boleh mencubanya dengan cara masakan di bawah, walaupun saya sendiri belum berkesempatan mencubanya. Maklumkah.. nak memasak sendiri, kuasa badan tidak mengizinkan. Cuba-cuba juga menjolok suami agar memasaknya... Jawabnya mudah dan simple.. Beli je pati haruan kat farmasi..
Cubalah...
SUP IKAN HARUAN
RESIPI SUP IKAN HARUAN
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan
2 cawan air
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam – ditumbuk
3 ulas bawang merah - ditumbuk [A]
2 ulas bawang putih - ditumbuk [A]
2 sm halia - ditumbuk [A]
1 keping asam keeping Garam secukup rasa
Daun bawang & daun sup – dihiris
Cara menyediakan:
a) Ikan dipotong dan dibersihkan dengan air asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Bilas dengan air bersih. Toskan.
b) Panaskan minyak jagung dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi. Masukkan air.
c) Apabila mendidih, masukkan lada hitam, asam keping dan ikan. Kacau rata dan masak lagi hingga mendidih. Taburkan daun bawang, daun sup dan garam. Kacau rata dan hidangkan

Sunday, 25 November 2012

ULAM DAN SELERA..

Sayur-sayuran dan ulam-ulaman mengandungi banyak serat (fiber) dan kurang kalori. Ia adalah kaya dengan sumber utama vitamin C, vitamin A, asid folix dan zat galian yang sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan serta minda yang sihat. Khasiat yang terdapat dalam sayur-sayuran dan ulam-ulaman ini dapat menyelenggara tisu-tisu kulit, mata, tulang dan otak. Ulam-ulaman biasanya banyak terdapat di kawasan kampung sama ada ditanam atau tumbuh sendiri di hutan-hutan yang berhampiran.
Apabila pembangunan rancak dilaksanakan, banyak kawasan hutan diteroka sekali gus menyebabkan ulam-ulaman turut pupus. Berikutan itu, ulam-ulaman sukar diperolehi di kampung-kampung dan pasar-pasar termasuk pasar tani. Namun, teknologi terkini dalam bidang pertanian membolehkan ulam-ulaman dan tumbuhan herba ditanam secara komersial dan mula dipasarkan ke seluruh negara.
Sebagai contoh, ladang satelit berkelompok yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah iaitu satu kawasan pengeluaran ulam-ulaman dan rempah ratus bagi memenuhi keperluan harian pengguna-pengguna di kawasan bandar dan menjadi suatu prasarana yang baik untuk mengenali dunia pertanian. Jika anda tinggal di kawasan kampung, anda bertuah kerana mempunyai tanah yang agak luas untuk dimanfaatkan dengan menanam tumbuhan jenis herba dan ulaman.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan menetap di kediaman yang tidak mempunyai halaman bertanah, usah berdalih untuk mengamalkan pemakanan ulam-ulaman. Ini kerana di bandar juga terdapat banyak pasar yang menjual ulam-ulaman.
Sebagai contoh pasar Chow Kit, pasar borong Selayang dan banyak lagi. Jika tidak pun, ambil sedikit usaha untuk menanam sayur ulaman melalui penanaman edible landscape atau kebun kelompok di sekitar rumah menggunakan pasu atau bekas tin dan plastik terpakai dengan menggunakan tanah atau kompos.Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang telah mengkaji dan mengenalpasti 62 jenis sayur dan ulam meliputi 37 jenis ulam daun atau pucuk, 16 jenis buah dan 9 jenis sayur kampung. Namun, menurut kajian oleh wikipedia.org, terdapat lebih 120 jenis ulam-ulaman di Malaysia meliputi ulaman jenis pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga.
Antara ulam-ulaman yang tersenarai ialah rebung, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, ulam raja, kerdas, jering, genuak, pucuk gajus, beluntas, pucuk betik, pucuk putat, daun selom, jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda, daun kunyit/kunyit hidup, daun kesom, pegaga, daun kadok, daun salad, kacang panjang muda, pucuk mengkudu, buah mengkudu, batang lambok (sejenis keladi) dan banyak lagi.
Usaha menyelidik ulaman oleh FAMA ini bertujuan memperkenalkan dan memasarkan ulaman kepada masyarakat dan membantu petani di kawasan kampung meningkatkan pendapatan mereka melalui hasil jualan ulam-ulaman itu nanti. Antara sayur ulam yang kurang dikenali yang diselidik oleh FAMA ialah bayam orang putih, pucuk ara, tenggek burung, kaca lima, cemperai, mata ayam, sepayang, balik angin, umbut kelapa. Manakala jenis-jenis buah ulam pula ialah buah ara nasi, gadung, peria katak, keladan, terung, peparu dan sebagainya. Menurut Kajian Industri Herba di Malaysia yang telah dilaksanakan oleh MARDITECH dan dibentangkan di Hotel Nikko, Kuala Lumpur, nilai pasaran industri herba dunia dijangka akan mencecah US$5 trillion menjelang 2050.
Menurut Tuan Haji Mansor Puteh, Ketua Penyelaras Teknikal bagi kajian ini, pasaran dunia herba pada 1997 yang bernilai US$60 bilion akan meningkat kepada US$200 bilion pada 2008 dan seterusnya mampu mencecah US$5 trilion menjelang 2050. KHASIAT BEBERAPA JENIS ULAM Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan kalium (K) di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Sebagai contoh, daun kaduk didapati mempunyai kalsium (Ca), fosforus (P), dan besi (Fe) yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain. (sumber : wikipedia.org)
Ulam juga membekalkan serabut yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serabut memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus. Ulam juga memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu dan kini pakar pengkaji perubatan barat juga turut mengakui khasiat ulam sebagai tambahan yang baik untuk badan.
Sebagai contoh, pegaga kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit. Ulam jering mengandungi sejenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Jering juga boleh menjadi penawar yang berkesan pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana, kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Daun kaduk pula mempunyai kandungan kalsium yang tinggi yang diperlukan oleh badan untuk memperkuatkan tulang, dan mengelakkan daripada penyakit osteoporosis terutama di kalangan kaum wanita. Ulam pegaga dan akarnya dikatakan membantu pemulihan rahim. Jus pegaga juga senang disediakan.
Di samping itu juga, amalkan memakan pucuk kaduk. Rasanya agak lemak dan senang dibiakkan di dalam pasu. Di Sarawak pula, ibu-ibu yang berpantang akan memakan bunga kunyit. Oleh kerana rupanya yang cantik, ia juga sesuai digubah bersama dedaun dan bunga segar bagi hiasan di meja makan.Ingin menambah pengetahuan atau membuat kajian mendalam mengenai ulam-ulaman? Jangan risau kerana terdapat banyak maklumat dan data boleh diperolehi melalui internet, media cetak dan media eletronik.
Jika ada masa terluang di pejabat atau di rumah, jangan lupa untuk melayari laman web yang memuatkan data mengenai ulam – ulaman. Antara laman web yang boleh dilawati ialah
Selamat meneroka dunia ulam-ulaman..

Monday, 19 November 2012

Menu Kampung Hari Ini.....


Daging Salai Lemak Pucuk Paku


Hari ni memang dah plan nak masak daging salai masak lemak pucuk paku!!!. Dah lama teringin nak masak lauk ni tapi baru ni berkempatan mencuba!! Maklumlah zaman bekerja dulu tak banyak masa kat rumah…. kalau nak makan kami beli je atau makan kat kedai!! Sekarang ni bila dah tak bekerja, ni lah peluangnya nak lepas dendam….. Saya teringin benar nak mencuba-cuba resepi yang tak pernah saya cuba!!!
Sebenarnya masak lemak daging salai tak lah susah mana…. macam masak cili padi biasa je… Cuma aroma daging salai tu yang buat ia special sikit!!! Kalau dapat panggang daging tu kat arang… aroma daging tu lagi menerbitkan keharuman masakan. Kalau ada belimbing buluh atau mangga muda lagi best……. dapur saya tak de bahan tu… jadi saya campur pucuk paku dan asam gelugur je!!! Saya pernah makan masakan ni di rumah kawan masa dia buat rumah terbuka dulu-dulu. Bila teringat balik masakannya yang sedap dan power tu….. teringin pulak saya nak mencuba!! Kalau masak daging salai ni jangan lupa sediakan juga sambal belacan, ulam-ulaman dan ikan sepat masin!!! Sedap oooo!!! My husband makan pun bertambah-tambah!! Saya tak berani masak macam ni selalu… takut bertambah boroi perutnya!!! Boroi yang sedia ada tu pun tak susut-susut…. ni, nak tambah lagi…. jangan cari fasal………….

Resepi Daging Salai Pucuk Paku
300 g daging
2 ikat pucuk paku
2 cawan santan pekat
1 liter santan cair ( anggaran 1 jag kecil )
6 ulas bawang merah ( ditumbuk )
1/2 inci lengkuas ( dihiris )
1 inci kunyit hidup ( di tumbuk halus )
10 biji cili padi ( boleh di tambah jika suka lebih pedas )
1 btg serai ( diketuk )
2 keping asam gelugur
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
sedikit perasa/ kiub daging/ kiub ayam ( optional )
Cara penyediaan
1.  Daging di bersihkan kemudian dilumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Bakar dalam oven hingga masak.
2. Jika daging liat boleh di rebus dahulu kemudian baru dibakar sebentar barulah di hiris nipis-nipis.
3.  Masak santan cair bersama bawang merah, serai, cili api, lengkuas, kunyit dan asam gelugur. Masak hingga mendidih kemudian masukkan daging salai dan santan pekat.
4. Kacau kuah santan selalu hingga mendidih supaya santan tidak pecah atau berketul-ketul.
5. Sesuaikan rasa yang anda ingini last sekali baru masukkan pucuk paku.
6. Kacau seketika barulah di angkat dan di hidangkan.

Sunday, 18 November 2012

Dapur dan Mood Memasak

Dapur merupakan medan dan gelanggang yang penting bagi tukang masak. Gelanggang ini banyak sekali mencorakkan mood dan keselesaan seseorang. Ramai yang bertanyakan bagaimana untuk merekabentuk sesuah dapur idaman yang menepati ciri-ciri sebuah dapur yang benar-benar menepati citarasa pemilik sebuah ruang dapur… sering kali soalan ini ditujukan…Sememangnya ruang dapur adalah satu ruang paling penting yang tidak boleh diambil mudah ciri-ciri rekabentuk dan fungsinya. Beberapa panduan boleh difikirkan sebelum memilih dan merekabentuk dapur idaman anda...

Langkah pertama yang perlu diambil sebelum membentuk ruang dapur?
- Sebelum mereka bentuk dapur perlu memahami kehendak pemilik, fungsi dan keperluan untuk dapur tersebut supaya susun atur dapur menjadi lebih sistematik dan memenuhi kehendak pemilik dapur. Pemilik juga perlu banyak membuat rujukan pada buku-buku, rakan-rakan, keluarga dan paling mudah mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini. Khidmat nasihat mereka membolehkan anda berjimat supaya tidak tersasar daripada bajet yang anda peruntukan.

Bagaimanakah menentukan reka bentuk yang sesuai dengan keluasan sebuah kediaman?
- Contohnya untuk reka bentuk untuk single line, double line, bentuk L, bentuk U, bentuk pulau. Pada kebiasaannya reka bentuk dapur bergantung kepada keluasan sesuatu dapur itu sendiri. Susun atur dapur single line, double line dan L sesuai untuk dapur yang berkeluasan sempit dan sederhana seperti di apartment mahupun kondominium. Manakala bentuk U dan bentuk pulau lebih bersesuaian dengan dapur yang emmpunyai keluasan yang luas yang lebih daripada 100 kaki persegi seperti rumah semiD atau banglo. Namun dlm menentukan rekabentuk dapur faktor pergerakan, pengcahayaan, pengudaraan adalah emelen asas yang perlu dititikberatkan.
Bagaimana membentuk dapur berkeluasan terhad?
- Dalam membentuk dapur yang berkeluasan terhad merupakan satu cabaran minda yang maksimum. Anda perlu bersikap terbuka dan positif untuk menggunakan setiap pelosok ruang dapur dengan sebaik mungkin. ukuran keluasan adalah satu aspek penting. Ini kerana dengan keluasan yang tepat anda akan dapat membentuk ruang dapur yang selesa dan memenuhi keperluan anda. Jika mempunyai saiz ruang dapur yang sempit perlu bijak mengatur ruang dan menempatkan keperluan yang asas sahaja iaitu ruang mencuci, ruang memasak, ruang penyediaan dan penstoran. Sekiranya mempunyai idea untuk membuat bar counter, serving counter mahupun kaunter pulau perlu dilihat kesesuaian pada ruang dengan melihat dari segi aspek pergerakan, keselesaan dan laluan kerja. selain itu antropometrik juga perlu tidak kurang pentingnya dalam mereka bentuk dapur yang sempit. Antropometrik adalah satu kajian tentang pergerakan manusia di sesuatu ruang. Contoh laluan yang minimum adalah 3′. Kabinet bawah tidak terlalu rendah atau tinggi begitu juga kabinet gantung. Pastikan pintu kabinet mudah dicapai dan dibuka untuk mengisi barang-barang.
Jika pemilik berhajat melakukan sedikit ubahsuai di ruang dapur terhad, apakah ubah suai ideal untuk sebuah kediaman jenis apartment atau pangsapuri?
- Pengubahsuaian yang ideal sekali untuk ruang dapur yang terhad adalah yang ringkas terampil bergaya. Di pasaran terdapat pelbagai pilihan material boleh didapati untuk pintu kabinet. Anda boleh memilih pintu kabinet dari solid wood, lamintaed finish, glass spray dan mdf spray board. Manakala permukaan kaunter kerja jika menggunakan concrete top boleh memasang kemasan jubin sama ada 300x300mm mahupun 600x600mm. Selain daripada itu boleh menggunakan material dari solid surface, kemasan laminated, granit mahupun marmar. Begitu juga kemasan lantai dan dinding perlu bijak memilih material yang sesuai dengan konsep dan bajet anda. Apa jua pilihan anda bagi ruang dapur yang terhad dinasihatkan supaya memilih material yang tampak ringan dan ringkas. Jika memilih material penuh dengan corak akan menyempitkan ruang dapur yang kecil.

Apakah saiz standard dapur apartment atau kondominium. Masalah yang sering dihadapi dalam rekaan dapur jenis begini?
- Saiz dapur pada apartment atau kondominium di pasaran sekarang begitu terhad luasnya. Biasanya apartment mempunyai keluasan dapur 100 kaki persegi sahaja. Dan ini memaksa pereka untuk berfikir lebih kreatif dan lebih mementingkan keperluan asas semata-mata untuk merekabentuk dapur tersebut. Masalah yang sering dihadapi adalah perletakan soket yang sedia ada tidak sesuai dengan penggunaannya dan ada juga kedudukannya terlalu hampir dengan sinki dan tidak mencukupi kuasa untuk perkakasan elektrik seperti peti sejuk, hud, periuk nasi elektrik dan sebagainya. Begitu juga dengan kedudukan paip air keluar dan masuk perlu dititikberatkan dari awal sebelum kerja-kerja pengubahsuaian mahupun pemasangan kabinet baru. Kebiasaannya kedudukan paip akan berubah mengikut lokasi yang sesuai dan jenis singki yang dipilih. Ini untuk mengelakkan kerja-kerja plumbing tiada bermasalah. dan perlu diingatkan untuk pastikan bahan-bahan plumbing berkualiti tinggi kerana tekanan air untuk rumah apartment mahupun kondominium mempunyai tekanan air yang tinggi.
Terima kasih En Anis ( imanpuri)

Salam Perkenalan... dari dapur penulis

Salam sejahtera untuk semua. Semga semuanya sihat. Pastinya semuanya sihat-sihat belaka. apabla kita berbicara perihal sihat, kita tidak dapat lari dari memperkatakan perihal makanan. Manakala makanan pula berkait dengan menu atau jenis makanan yang kita makan. Apa yang kita makan pula bergantung kepada selera yang menjadi keinginan kita apabila memilih makanan. Oleh itu menu dan selera itu tidak terpisah dengan kesihatan kita.
Pendek kata, sihat dan sakit seseorang banyak juga dipengaruhi oleh pilihan menu dan seleranya. Oleh itu apa kata anda bersama saya meneroka menu dan selera supaya apa yang kita makan bukan sahaja memenuhi keperluan keinginan makan kita tetapi yang lebih penting ialah memenuhi keperluan kesihatan kita... Selamat bertemu dan berbicara....